oleh: Haji Kamdi bin Kamil ( Sejarawan Yayasan Warisan Johor)

Pendahuluan

Sejarah kewujudan kesultanan Empayar Johor-Riau bermula pada tahun 1528 iaitu kira-kira 480 tahun dahulu, tidak dapat dipisahkan dengan sungai Johor. Sungai Carang dan Sungai Daik. Walaupun pusat-pusat pemerintahan berkota Empayar Johor-Riau berubah dan berpindah dari satu masa ke semasa, namun di sepanjang Sungai Johor, Sungai Carang dan Sungai Daik menjadi pilihan untuk membina semula pusat pemerintahan yang baru untuk terus menegakkan kelangsungan dengan mendirikan singgahsana penyambung warisan yang menjadi lambang kedaulatan, kebanggaan dan kemegahan kesultanan Empayar Johor-Riau. Pusat pemerintahan Empayar Johor di bina dalam kawasan kota yang dilengkapi dengan kubu pertahanan. Di luar kota di tepi sungai terdapat pelabuhan untuk mengendalikan aktiviti perdagangan. Pusat pemerintahan Empayar Johor bermula di Pekan Tua yang dikenali juga sebagai Kota Kara yang diasaskan oleh Sultan Allauddin Riayat Shah II (1528-1564), putera Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah.

Adalah tepat sekali Sultan Alauddin Riayat Shah pengasas kesultanan Johor-Riau  dicatatkan sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II kerana baginda berketurunan Sultan Melaka mewarisi Empayar Melaka. Sultan Alauddin Riayat Shah I (1477-1488) yang dimakamkan di Pagoh adalah datuknya, Sultan Melaka yang ketujuh. Setelah dimusnahkan oleh Portugis (1535,1536 dan 1537), Aceh (1564,1570, 1582, 1613 dan 1615), Jambi (1667,1673, 1679) dan ancaman Belanda serta bencana alam, pusat pemerintahan empayar Johor-Riau terpaksa dipindahkan silih berganti ke Kota Sayong (Sayong Pinang), Kota Batu Johor Lama, Kota Seluyut, Kota Batu Johor Lama, Kota Batu Sawar, Kota Tinggi (Makam Tauhid), Kota Panchor (pusat pentadbiran terakhir di tanah Besar Johor), kemudian ke Bentan dan Daik. Menurut Haji Wan Rusik Wan Yusuf.

“…perpindahan ini dibuat mungkin memandangkan kedudukan Johor yang penting. Pertama Johor yang letaknya di tengah negeri-negeri Melayu, oleh itu jika Portugis datang lebih senang untuk rajanya melarikan diri sama ada ke Pahang atau negeri-negeri di Pantai Timur Sumatera”

Ancaman daripada kedua-dua kuasa Portugis dan Aceh menyebabkan Johor menjalankan dasar berbaik-baik dengan Belanda. Pada tahun 1602, semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III, Johor menerima baik Laksamana Jacob Heemskerck di Batu Sawar. Belanda menawarkan bantuan melindungi Johor daripada serangan Portugis dan Aceh. Ikatan persahabatan kedua-dua kerajaan ini menghasilkan kejayaan pada tahun 1641. Pada tahun ini dengan bantuan angkatan Johor, seramai 1500 orang di bawah pimpinan Laksamana Paduka Raja Tun Abdul Jamil, Belanda berjaya meruntuhkan kekuasaan Portugis yang menduduki Melaka selama 130 tahun (1511-1641).

Sesungguhnya sepanjang pesisir kanan mudik Sungai Johor, Sungai Carang, Bentan dan Sungai Daik Lingga, dalam hampir 300 tahun seramai 17 orang sultan dan 20 orang Bendahara menegakkan kedaulatan Kesultanan Johor-Riau di pusat-pusat pemerintahan yang juga menjadi ibu kota, kota pertahanan pusat perkembangan Islam dan pusat perdagangan antarabangsa tersohor yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Cina, India, Arab, Eropah dan Kepulauan Melayu sendiri. Justeru kegemilangan empayar Johor-Riau pada ketika itu diwarnai oleh aktiviti dari pelaut, pedagang, pendakwah, pengembang budaya dan pejuang yang perkasa. Kekerapan serangan Portugis dan Aceh ini memperlihatkan kemampuan Kesultanan Johor membina semula pusat pemerintahan dan Kota pertahanannya dalam masa yang singkat dan menjadi ancaman semula kepada Portugis dan Aceh. Semangat patriotik yang tinggi ini, kerajaan Kesultanan Johor terus menerus dapat mempertahankan kedaulatannya.

PENGASASAN EMPAYAR JOHOR-RIAU DI PEKAN TUA

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, negeri-negeri Melayu yang menjadi jajahan takluk Melaka kekal meletakkan taat setianya kepada Sultan Mahmud dan pengganti-pengganti selepasnya. Wang Gangwu memperkatakan:

“…walaupun kehilangan negerinya tetapi Sultan Melaka tidak kehilangan kesetiaan negeri yang pernah berada di bawah pengaruhnya”

Sultan Alauddin Riayat Shah II, pengganti Sultan Mahmud bertekad untuk meneruskan perjuangan ayahandanya menegakkan sebuah Empayar baru, menyatukan semula negeri-negeri yang pernah menjadi jajahan takluk Melaka. Sultan Alauddin Riayay Shah II meninggalkan Kampar menuju Pahang. Setibanya di Pahang baginda dikahwinkan dengan Puteri Kesuma Dewi iaitu Puteri Sultan Mansur Pahang. Dalam masa beberapa bulan, Sultan Alauddin Riayat Shah II bersama pemaisurinya mendapat keizinan Sultan Pahang untuk berpindah ke Johor, mengasaskan Kesultanan Johor. Baginda menitahkan Bendahara dan Seri Nara Diraja, menghimpunksn rakyat jelata untuk membuka negeri di Kuala Johor. Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) menceritakan:

“Hatta beberapa hari baginda berjalan, maka sampailah ke Johor maka Sultan Alauddin pun menintahkan Bendahara dan Seri Nara Diraja mengepalai rakyat menebas Kuala Johor, akan perbuat negeri. Maka Bendahara dan Seri Nara Diraja pun naiklah ke darat, diikuti segala pegawai, mengarahkan rakyat berkampunglah bekerja, azamat bunyinya kayu yang rebah ditebang  sekalian mereka itu. Adapun akan Laksamana Hang Nadim dan Seri Bija Diraja menjadi langlang laut; tiga ratus kelengkapannya, menjadi jaga-jaga, sampai ke Rantau Banang ia pergi… syahadan akan negeri pun sudah lah dengan kotanya dan paritnya, yang dari hilir sungai Keriting, yang dari Hulu sungai orang membuat istana dan masjid, balairung kedua dan penanggah, balai gendang, kolam telaga sekaliannya. Setelah mustaidlah dengan sepertinya, maka Sultan Alauddin pun pindahlah ke istana dengan isteri baginda, diiringkan biti dayang-dayang, pewarna, mandara baginda; maka Bendahara segala menteri, hulubalang, Orang kaya-kaya, sida-sida, Bentara sekaliannya pindahlah kerumahnya masing-masing arah tempatnya, dan lebuh pekan pesara pun penuh pepak kedai orang; pada masa itu kampung orang arah ke hilir datang ke Belandung, yang ke hulu sampai ke Bukit Piatu, di hulu Kuala Johor.”

Kota yang dibina menjadi pusat pemerintahan pertama kesultanan Johor ini bernama Pekan Tua, terletak di Kangka Lubok Pekan. Kedudukan ketika ini ialah di Sungai Telor, Kota Tinggi. Pusat pemerintahan ini dilengkapi dengan binaan sebuah kubu dikenali dengan nama ‘kubu pertahanan sebelah hadapan’ bagi menghadapi serangan musuh. Kubu pertahanan ini dinamakan sebagai ‘Kota Kara’.

Sebagai pusat pemerintahan, Kota Kara ini dilengkapi dengan istana yang mengandungi Balairung Seri, Balai Besar, Balairung kedua dan penanggah, balai gendang dan Balai Penghadap, masjid, parit, pasar (pekan pesara) dan rumah rakyat jelata di sekeliling luar pagar istana. Dalam Sejarah Melayu, Pekan Tua ini digambarkan:

“Mula ramailah penduduk menyokong kerajaan Melayu di Johor di lebuh pekan, pesara pun penuh pepak kedai orang. Pada masa itu kampung-kampung hilirnya sampai Belandong dan hulunya hingga ke Bukit Piatu iaitu di hulu Kuala Johor”.

Sultan Alauddin Riayat Shah II, bukan sahaja mewarisi empayar Melayu Melaka yang ditinggalkan oleh ayahandanya tetapi juga mewarisi konflik dan pengeseran dengan kuasa-kuasa lain terutama Portugis dan Aceh. Permusuhan sedia berlaku dengan Portugis ditambah lagi dengan peristiwa pembunuhan seorang ketua orang Melayu di Melaka bernama Sang Naya. Rancangan sulit Sang Naya untuk memberontak dan membunuh orang Portugis di Melaka telah di ketahui oleh Garcia de Sa, Ketua orang Portugis di Melaka. Sang Naya telah ditangkap oleh orang Portugis dibawa naik ke atas menara Kota Melaka lalu ditolak jatuh ke bawah langsung mati.

Perbuatan orang Portugis membunuh Sang Naya menimbulkan kemarahan orang Johor. Satu angkatan Perang Johor mengandungi 27 buah perahu perang singgah di Melaka dalam perjalanan pulang ke Johor dari Perak. Ketua angkatan Johor mengucapkan selamat kepada Estavao da Gama yang baru memegang jawatan Ketua Portugis di Melaka. Ketua orang Johor juga mengajak Portugis mengadakan hubungan persahabatan dengan Sultan Alauddin Riayat Shah II. Dalam tahun 1534, Estavao da Gama menghantar seorang pegawainya sebagai utusan menghadap Sultan Alauddin Riayat Shah II di Pekan Tua, memaklumkan mengapa Sang Naya mati dibunuh. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah menitahkan askarnya menangkap utusan Portugis itu, dinaikkan ke atas sebuah pokok kayu tinggi lalu dijatuhkan ke bawah, maka matilah utusan Portugis itu.

Tentera Portugis telah bertindak balas di atas pembunuhan utusannya di Pekan Tua. Portugis telah memerintahkan angkatan perangnya menyerang Johor:

“Dalam bulan Jun 1535, suatu angkatan perang Portugis dari Melaka terdiri daripada dua buah kapal besar dan beberapa buah perahu kacil dengan 400 orang askar diketuai oleh Estavao da Gama telah datang menyerang Johor”

Angkatan tentera Portugis memudiki Sungai Johor menyerang perkampungan-perkampungan pesisir Sungai Johor sehingga ke Pekan Tua. Kota Kara yang menjadi kubu pertahanan askar Johor telah dimusnahkan dalam pertempuran yang hebat. Sebelum tentera Portugis sampai di Kota Kara, Bendahara Paduka Tuan telah menasihatkan sultan dan pembesar serta pengikutnya meninggalkan Kota Kara mudik ke hulu sehingga ke sebuah tempat bernama Sayong.[vii] Askar Johor turut berundur mudik ke hulu. Setibanya di suatu tempat bernama Batu Belah, beberapa batang pokok ditebang, tumbang melintangi sungai yang semakin sempit dan dapat menghalang perahu-perahu Portugis meneruskan gerakannya. Di atas kesukaran ini Estavao da Gama memerintahkan tenteranya pulang ke Melaka.


PERPECAHAN EMPAYAR JOHOR-RIAU

            Peristiwa yang membawa kepada permulaan perpecahan Empayar Johor ialah dengan termeterainya perjanjian antara Temenggong Abdul Rahman denganThomas Stamford Raffles pada 30 Januari 1819. Perjanjian ini membenarkan British membina loji atau pangkalan di Singapura, British berhak menempatkan angkatan tentera mereka di mana-mana kawasan di dalam Singapura. Perpecahan Empayar Johor-Riau semakin jelas apabila Tengku Husin ditabalkan sebagai sultan Singapura pada 6 Februari 1819. Dengan pertabalan ini, kuasa baru telah wujud di Singapura dan Johor. Sultan Abdul Rahman hanya berkuasa di Riau Lingga sahaja. Suasana ini memperlibatkan persaingan kuasa dua beradik iaitu Sultan Abdul Rahman mendapat sokongan  Belanda berkuasa di riau Lingga dan sultan Husin mendapat sokongan British berkuasa di Singapura.

            Perjanjian London yang ditandatangani pada 17 Mac 1824 menjadikan perpecahan Johor Riau menjadi rasmi. Perjanjian ini secara jelas menetapkan sempadan kuasa masing-masing di kepulauan Melayu. Empayar Johor berpecah kepada dua  kawasan pengaruh penjajah barat itu. Singapura dan tanah besar Johor di bawah pengaruh British, manakala kepulauan Riau-Lingga adalah di bawah pengaruh Belanda. Persempadaan ini dijelaskan di dalam Fasal 12: bahawa British tiada mempunyai hak dalam membuat sebarang penempatan di Pulau Karimun, Batam, Riau (Bentan), Lingga dan pulau-pulau lain di bahagian selatan Singapura. Fasal 10 pula menyebut: Melaka diserahkan kepada British sementara Belanda Mengambil Bangkahulu. Perjanjian London 1824 ini secara jelas juga memisahkan kuasa pemerintah-pemerintah tempatan iaitu Sultan Abdul Rahman menjadi Sultan pertama Riau-Lingga dan Sultan Husin menjadi sultan Johor ketujuh belas (1819-1835).

Kesimpulan

            Empayar Johor-Riau (Kesultanan Johor Lama) yang diasaskan oleh Sultan Alauddin  Riayat Shah II hanya berusia 296 tahun yang diperintah oleh tujuh belas orang sultan dari dua keluarga iaitu keluarga sultan Melaka dan Bendahara. Sepanjang tempoh tersebut, Empayar Johor- Riau terus kekal wujud walaupun menerima serangan banyak kali daripada Portugis, Aceh dan Jambi. Ibu kotanya yang musnah dapat dibina semula di spenajang Sungai Johor dalam masa yang singkat. Empayar Johor-Riau yang mewarisi Empayar Melaka terus memainkan peranan  sebagai pusat perdagangan antarabangsa, pusat perkembangan budaya dan pusat penyebaran agama Islam. Dapat dirumuskan bahawa sejarah Empayar Johor-Riau kaya dengan unsur-unsur patriotisme dan kefahaman kenegaraan yang dapat memupuk semangat cinta dan sayangkan negara bagi mereka yang menghayatinya. ***

Tinggalkan Balasan